Logo
MAJLIS PERBANDARAN MANJUNG LAKSANAKAN SEPENUHNYA LESEN PREMIS DIGITAL DAN KEPELBAGAIAN FUNGSI MYPATIL MENGGANTIKAN PENGGUNAAN LESEN MANUAL

(Manjung – 16 November 2021) – Majlis Perbandaran Manjung berusaha untuk melakukan transformasi selaras dengan era digital dengan mewajibkan pemasangan lesen premis digital pelbagai fungsi (myPATIL) yang merupakan PBT pertama di Malaysia berbuat demikian. Langkah ini membolehkan peniaga tempatan melaksanakan semua urusan lesen di hujung jari mereka.

Tuan Syamsul Hazeman Md Salleh, Yang Dipertua Majlis Perbandaran Manjung memberitahu wartawan China Press bahawa lesen premis digital akan menggantikan lesen manual (versi bercetak) secara berperingkat yang dijangka akan dilaksanakan sepenuhnya dalam tahun ini. Pada masa itu, semua perniagaan diwajibkan memasang lesen premis digital.

“Pada 8 November lalu, pegawai telah mula memasang peranti pintar lesen premis digital bagi peniaga yang memegang lesen perniagaan daripada Majlis Perbandaran Manjung di kawasan Seri Manjung dan Sitiawan. Kos pemasangan peranti tersebut ditanggung oleh Majlis Perbandaran Manjung dan perlu ditekankan bahawa peranti berkenaan bukanlah kamera. Justeru, orang ramai tidak perlu risau tentang peranti tersebut.”

Beliau berkata, lesen premis digital bukan sahaja berfungsi sebagai lesen malah merupakan platform interaktif pelbagai fungsi. Apabila peniaga memasang peranti pintar tersebut, mereka boleh mendaftar masuk ke aplikasi myMANJUNG untuk menyemak maklumat lesen pada bila-bila masa dan di mana sahaja, boleh menyemak maklumat perniagaan dan cukai serta membenarkan peniaga membayar cukai, kompaun (jika ada) serta memperbaharui lesen di hujung jari.

“Pada masa yang sama, peranti pintar lesen premis digital juga mempunyai fungsi pembayaran kad kredit, perbankan dalam talian (FPX) dan e-wallet. Malah aktiviti perniagaan juga boleh diiklankan di platform myMANJUNG pada masa hadapan melalui pemasaran digital.”

Beliau berkata, aplikasi myMANJUNG dan MyPATIL adalah untuk membantu warga Manjung mempelajari transaksi tanpa tunai dan melaksanakan pelbagai urusan dalam talian yang secara tidak langsung menyediakan masyarakat ke arah bandar pintar.

“Melalui langkah ini, kita (Majlis Perbandaran Manjung) bukan sahaja meningkatkan kecekapan tugas pelbagai jabatan, malah rakyat Manjung juga dapat menikmati perkhidmatan yang lebih pantas dan berkesan. Pada masa yang sama, kita juga komited terhadap langkah perlindungan alam sekitar dan mengurangkan pembaziran sumber.”

LIHAT BERITA ASAL DI SINI

Sumber: Perak China Press