LUMUT: Majlis Perbandaran Manjung (MPM) menjadi pihak berkuasa tempatan (PBT) pertama di negara ini melaksanakan sistem pelesenan digital atau dalam talian sepenuhnya dan secara menyeluruh.
Menerusi pemasangan peranti Aplikasi Sistem Lesen Pintar Untuk Premis Perniagaan (myPATIL) sejak 8 November lalu, sebanyak 8,800 lesen perniagaan didaftarkan secara digital.
Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Pelancongan negeri, Datuk Nolee Ashilin Mohammed Radzi berkata, beliau difahamkan kaedah itu belum pernah dilaksanakan di mana-mana PBT di dunia setakat ini.
“Ini adalah satu lagi penambahbaikan dalam urusan penyampaian iaitu tidak perlu berurusan secara bersemuka, menjimatkan masa dan kos pelanggan serta lebih cekap dalam kelulusan lesen, pungutan hasil dan penguatkuasaan,” katanya pada sidang media selepas melancarkan myPATIL MPM di Seri Manjung, hari ini.
Yang hadir sama Yang Dipertua MPM, Syamsul Hazeman Md Salleh; Setiausaha Bahagian Kerajaan Tempatan, Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Perak, Mufidah Mahfodz serta Pengerusi Eksekutif Gates IT Solution Sdn Bhd selaku pengendali myPATIL, Datuk Muhammad Jamil Ishak.
Menurut Nolee Ashilin, MPM yang diiktiraf PBT terbaik di Malaysia sebelum ini, menjadi perintis kepada program tersebut sebelum diperluaskan ke PBT lain di negeri ini mulai bulan depan.
Sementara itu, Syamsul Hazeman menjelaskan, MPM menjalankan kerjasama dengan Gates IT Solution Sdn Bhd sejak 1 September lalu bagi melaksanakan myPATIL bagi menggantikan kertas dan papan lesen sedia ada di semua premis perniagaan berlesen dan diintegrasikan dengan aplikasi mudah alih yang dapat memudahkan operasi penguatkuasaan yang lebih efisien dan telus.
Beliau memberitahu, premis perniagaan yang dipasang dengan peranti myPATIL turut menyediakan pelantar perniagaan digital myManjung Biz untuk membantu peniaga mengiklankan perniagaan mereka ke seluruh negara dan membolehkan peniaga menerima bayaran tanpa tunai merangkumi kaedah FPX, kad kredit, kad debit dan e-Wallet.
“Kaedah ini juga didapati dapat mengelak ketirisan apabila boleh mengesan perniagaan yang tidak berlesen atau tidak aktif, sebagai contoh sebelum ini terdapat kira-kira 7,000 premis perniagaan berlesen tetapi apabila didaftarkan secara digital, didapati ia mencecah sehingga 8,800 premis.
“Ia sekali gus dapat mengelakkan ketirisan antara RM2 juta hingga RM3 juta setahun daripada segi kutipan hasil berbanding kaedah tanpa digital yang digunakan sebelum ini,” jelasnya.
Sumber: Utusan Malaysia