Logo
LAPANGAN TERBANG PANGKOR KEMBALI BEROPERASI JANUARI DEPAN

Manjung: Lapangan Terbang Pangkor dekat Pulau Pangkor di sini, dijangka akan beroperasi semula pada 22 Januari depan dengan perkhidmatan penerbangan domestik secara terus daripada Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah (LTSAAS), Subang, Selangor.

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Pelancongan negeri Datuk Nolee Ashilin Mohamed Radzi berkata, berdasarkan perancangan awal, lapangan terbang itu sepatutnya beroperasi 1 Disember lalu tetapi operasinya ditunda berikutan ada perkara perlu diselesaikan.

"Pada 22 Januari depan, akan ada penerbangan dari Subang ke Pangkor. Saya juga sudah berbincang dengan Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB), persediaan sudah dibuat dan mereka bersedia menerima pesawat yang sudah dikenal pasti.

"Penerbangan bukan hari-hari, mungkin tiga atau empat kali seminggu. (Bagaimanapun) kita belum dapat pengesahan (dan maklumat lanjut) berapa kali penerbangan dan bilangan penumpang," katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan pelancaran Lesen Premis Digital (myPATIL) Majlis Perbandaran Manjung (MPM) iaitu aplikasi pertama dalam negara yang berasaskan teknologi pintar 'Internet of things' (IOT) menggantikan lesen konvensional di Dewan Merdeka MPM di sini, hari ini.

Turut hadir Yang Dipertua MPM Syamsul Hazeman Md Salleh.

Nolee Ashilin berkata, penerbangan itu akan merancakkan lagi industri pelancongan dan pihaknya menjangkakan pertambahan kunjungan pelancong ke pulau bebas cukai itu.

Katanya, pemain industri dan operator perhotelan serta pelancongan di Pulau Pangkor juga sudah bersedia dan kembali beroperasi sepenuhnya.

"Pangkor sudah bersedia 100 peratus (menerima kehadiran pengunjung yang dijangka meningkat) kerana operator kita sudah kembali beroperasi dan menjelang Januari, memang tiada masalah.

"Malah, mengikut maklumat, sejak 1 Disember lalu (penginapan dan hotel) mereka sudah ditempah sepenuhnya," katanya.

Sumber: Harian Metro